PRN Sabah: Umno mahu tanding di kerusi baharu dikenal pasti kubu kuat

PRN Sabah: Umno mahu tanding di kerusi baharu dikenal pasti kubu kuat

Umno Sabah mahu diberi peluang untuk meletakkan calon di kerusi baharu yang dikenal pasti menjadi kubu kuat parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata permintaan itu wajar dan ia dibuat berdasarkan data yang dikumpul parti itu.

Beliau memberi contoh kerusi baharu DUN Sungai Manila dalam Parlimen Libaran di Sandakan adalah kubu kuat Umno, justeru parti itu wajar diberi keutamaan meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Jelasnya, permintaan Umno itu diharap dipertimbangkan dalam perjumpaan dengan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) dan sekutu Perikatan Nasional (PN) lain seperti Pas dan Bersatu.

“Dalam kerusi tambahan itu, kita lihat ada kawasan kubu kuat Umno seperti Sungai Manila. Sudah tentu Umno mempunyai kelebihan di kawasan itu sekiranya diberi peluang untuk bertanding,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sebelum ini, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menyatakan mahu bertanding di DUN Lamag dalam Parlimen Kinabatangan.

PRN Sabah kali ini menyaksikan 73 kerusi dipertandingkan, berikutan tambahan 13 kerusi baharu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.

Selain Sungai Manila dan Lamag, kerusi baharu yang lain ialah Bengkoka (Kudat), Darau (Sepanggar), Limbahau (Papar), Telupid (Beluran), Kukusan (Kalabakan), Bandau (Kota Marudu), Segama (Lahad Datu), Pintasan (Kota Belud), Pantai Dalit (Tuaran) dan Tulid (Pensiangan).

Tambahnya, Umno Sabah akan meletakkan sehingga 85 peratus muka baharu dengan keutamaan kepada calon muda bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan memajukan negara.

Bagaimanapun, katanya senarai calon parti itu belum dimuktamadkan kerana masih menunggu perbincangan dengan rakan parti lain dalam PN.

Mengenai kedudukan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, beliau berkata pihaknya belum berbincang dengan penyandang DUN Sungai Sibuga itu sama ada beliau mahu mempertahan kerusi berkenaan atau tidak.