Puteri Umno bimbang keselamatan peniaga burger

Puteri Umno bimbang keselamatan peniaga burger

Puteri Umno melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan peniaga burger yang membuat pendedahan secara langsung di Facebook mengenai aktiviti perjudian di Sungai Buloh.

Ketuanya, Zahida Zarik Khan berkata peniaga burger itu melakukan tindakan nekad serta berani dan pastinya tindakan itu mengundang kemarahan sindiket-sindiket perjudian.

“Apa yang menjadi kebimbangan kami adalah keselamatan individu ini dan ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Zahida memohon pihak berkuasa seperti polis memberi perlindungan kepada peniaga terbabit dan ahli keluarganya serta jaminan keselamatan kepada mereka.

“Diharap pihak berkuasa terus bertindak secara telus dalam membanteras sindiket-sindiket perjudian dan maksiat dengan konsisten tanpa perlu “gemparan” seperti ini.

“Kita tidak mahu aktiviti perjudian dan maksiat ini terus menjadi perosak keluarga dan masyarakat,” katanya.

Semalam seorang lelaki memuat naik dua video di Facebook Hot Burger Malaysia hingga mendapat lebih sejuta tontonan.

Menerusi video dirakam secara tinjauan dari dalam kenderaan, lelaki itu mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.

Bagaimanapun hari ini Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata pihaknya membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’ berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan, semalam.

Shafa’aton berkata, susulan maklumat berkenaan sepasukan polis membuat enam serbuan di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang ditularkan.

Dalam serbuan berkenaan polis menahan dua lelaki warga Bangladesh, selain merampas empat tablet dan wang tunai RM114.

“Lima lagi serbuan di tempat berlainan mendapati premis berkenaan tidak beroperasi, jelas ia adalah tohmahan,” katanya.