Tun M tak akan hantar pulang Zakir Naik jika kembali jadi PM

Tun M tak akan hantar pulang Zakir Naik jika kembali jadi PM

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengekstradisi pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik ke India jika beliau kembali menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

Dalam satu wawancara bersama media WION dari India, Mahathir berkata beliau hanya mungkin akan menghantar Zakir ke negara selamat, namun tidak akan sesekali menghantarnya pulang ke India.

Zakir memiliki status penduduk tetap di Malaysia sejak 2016.

“Keadaan di India berkaitan dengan hubungan Muslim-Hindu tidak begitu baik. Terdapat kes orang yang dihukum orang ramai tanpa melalui perbicaraan.

“Jadi, saya fikir, dia tidak disambut baik di India,” katanya yang dipetik Malaysiakini. 

Zakir yang kini berada di Malaysia mendapat suaka politik selepas dikehendaki di India bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwah itu mendapat status penduduk tetap di Malaysia pada 2016, ketika pentadbiran kerajaan BN serta dilaporkan juga mempunyai kewarganegaraan Arab Saudi sejak tahun 2017.

Menjawab soalan wartawan, Mahathir menegaskan bahawa hubungan Hindu-Muslim yang tegang di India di bawah Perdana Menteri Narendra Modi telah mendorong Malaysia menolak permintaan ekstradisi Zakir.

“Kami fikir, buat masa ini, dia boleh tinggal di sini, tetapi kami ingin menghantarnya ke negara lain di mana dia akan selamat.

“Malangnya, tidak banyak negara yang bersedia menerimanya,” katanya lagi.