Tun patut kembali pada Bersatu atau Umno – Rais Yatim

Tun patut kembali pada Bersatu atau Umno – Rais Yatim

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya kembali menyertai Umno ataupun Bersatu, bukannya menubuhkan parti Melayu yang baharu.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata parti yang bertunjangkan Melayu di negara ini sudah terlalu banyak.

“Parti bertunjangkan bangsa Melayu sudah banyak,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurut Rais, asas penubuhan parti baharu tersebut juga dikatakan kurang jelas dan parti politik yang mengangkat bangsa Melayu yang sedia ada juga telah banyak.

“Realiti untuk menubuhkan parti politik bukan mudah dan ia memakan masa. Lagipun buat apa Tun mahu menubuhkan parti Melayu lagi sedangkan beliau pernah mengepalai PPBM. Jadi saya kira paling baik ialah beliau kembali kepada PPBM atau Umno.

“Bagi saya menubuhkan satu lagi parti Melayu sudah tidak ada alasan, sebab kita mahu mencari perpaduan, jika tidak hak kita di bawah Perlembagaan akan lumat. Kita hormat beliau tentang inovatif tetapi dalam hal ini rasanya tidak,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat tindakan menubuhkan satu lagi parti politik Melayu turut disifatkan hanya menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Terdahulu, Dr Mahathir menerusi sidang media khas Jumaat lalu mengumumkan penubuhan parti baru yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau hilang kepercayaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas parti berkenaan memecat keahliannya bersama lima lagi pemimpin sebelum ini