Video kedai judi tular, KPN janji ambil tindakan

Video kedai judi tular, KPN janji ambil tindakan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis akan menyiasat, seterusnya mengambil tindakan jika benar dakwaan mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Ia susulan dakwaan seorang lelaki menerusi dua video dimuat naik di Facebook Hot Burger Malaysia yang tular semalam hingga mendapat lebih sejuta tontonan.

Menerusi video dirakam secara tinjauan dari dalam kenderaan, lelaki itu mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.

Mengulas mengenainya, Abdul Hamid berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.

“Judi menjahanamkan masyarakat kerana ia mengembangkan perlakuan lain-lain jenayah.

“Polis akan siasat dakwaan individu terbabit yang mengatakan berlakunya kegiatan perjudian di kawasan itu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Dalam salah satu video berkenaan, lelaki itu mendakwa telah melaporkan kegiatan perjudian di Sungai Buloh kepada bahagian perjudian Bukit Aman, namun premis terbabit hanya ditutup beberapa hari sebelum beroperasi semula.

Malah, individu tersebut mendakwa anggota sindiket perjudian tahu dia yang membuat laporan kepada polis, menyebabkannya mengesyaki ia angkara orang dalam membabitkan pihak berkuasa.

Berdasarkan komen netizen pada video itu, rata-rata mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, selain kesal jika benar berlaku rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa.