Wakil rakyat PKR mahu dua pengarah MBSA diambil tindakan

Wakil rakyat PKR mahu dua pengarah MBSA diambil tindakan

Wakil rakyat PKR hari ini menggesa Datuk Bandar Shah Alam mengambil tindakan terhadap Pengarah Penguatkuasa dan Pengarah Pelesenan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan video yang tular mengenai pusat judi di dan aktiviti perniagaan warga asing di Sungai Buloh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Azmizan Zaman Huri dari PKR berkata, beliau mengecam sekeras-kerasnya kelemahan dua pengarah MBSA itu. 

Tambahnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan MBSA hari ini adalah bersifat retorik semata-mata.

“Maka saya dengan ini mengecam sekeras-kerasnya kelemahan Pengarah Penguatkuasa MBSA dan Pengarah Pelesenan MBSA dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.

“Sudah sampai masanya Datuk Bandar Shah Alam mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Pengarah Penguatkuasa dan Pengarah Pelesenan MBSA.

“Adakah Pengarah Penguatkuasa MBSA dan Pengarah Pelesenan MBSA tak nampak  warga asing berniaga selama ini atau buat-buat tak nampak,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu MBSA meluahkan rasa kesal dengan tuduhan yang dilontarkan terhadap pihaknya berhubung isu di perjudian di Sungai Buloh yang tular di media sosial.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, MBSA akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan.

“Pihak MBSA ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk kakitangan MBSA sekiranya berlaku salah guna kuasa atau isu berkaitan integriti.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan MBSA sekiranya didapati melakukan aktiviti menyalahi peraturan dan undang-undang,” kata kenyataan itu.

Malaysia Post semalam melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis akan menyiasat, seterusnya mengambil tindakan jika benar dakwaan mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Ia susulan dakwaan seorang lelaki menerusi dua video dimuat naik di Facebook Hot Burger Malaysia yang tular kelmarin hingga mendapat lebih sejuta tontonan.

Mengulas lanjut Azmizan berkata, apakah pihak penguatkuasa mempunyai dwistandard dalam melaksanakan penguatkuasaan.

“Adakah undang-undang MBSA hanya untuk warga tempatan tetapi tidak kepada warga asing? Kita nantikan tindakan Datuk Bandar Shah Alam.

“Pengarah Penguatkuasa MBSA dan Pengarah Pelesenan MBSA telah mencemarkan nama naik MBSA. Sangat memalukan,” katanya