32 individu dalam pub antara ditahan ingkar PKPP

32 individu dalam pub antara ditahan ingkar PKPP

[Covid-19] Polis menahan 222 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, 32 daripadanya terlibat dalam aktiviti di pub dan kelab malam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu katanya 81 individu terlibat aktiviti dengan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, apa-apa aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) 87, melanggar SOP kuarantin rumah (5) dan tidak memakai pelitup muka (17).

“Daripada jumlah itu, seramai 49 individu direman manakala lima individu dijamin dan 168 lagi dikenakan kompaun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan akan mempertingkat pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP ditetapkan.

“Ini termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak seperti di pasar atau pusat beli-belah dan pengangkutan awam.

“Kerajaan berharap rakyat akan terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP,” katanya.