Adun akui wujud kegiatan judi di Sungai Buloh, tindakan sudah berulang kali

Adun akui wujud kegiatan judi di Sungai Buloh, tindakan sudah berulang kali

Muhammad Mustakim Ramli

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mengakui wujud kegiatan perjudian di Sungai Buloh seperti yang tular di media sosial.

Ketika dihubungi Malaysia Post, beliau memaklumkan tindakan dari pihak berkuasa memang sudah diambil, namun ia tetap berlaku.

“MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dah beberapa kali ‘rush’ tempat tu termasuk sita.. tetapi masih ada sindiket yang jadi dalang untuk terus beroperasi,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau pernah atau tidak menerima laporan orang awam berhubung kes berkenaan.

Pengerusi Jawatan kuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, berkata beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan jika semua pihak iaitu penguatkuasa dan orang ramai bekerjasama.

“Saya percaya polis dapat membantu bersama-sama dengan MBSA untuk selesaikan masalah kedai judi di kawasan berkenaan.

“Orang awam pula, kita salurkan maklumat ke pihak berkuasa. Semoga peristiwa ini jadi peringatan untuk semua pihak termasuk saya sendiri,” katanya.

Malaysia Post sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis akan menyiasat, seterusnya mengambil tindakan jika benar dakwaan mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Ia susulan dakwaan seorang lelaki menerusi dua video dimuat naik di Facebook Hot Burger Malaysia yang tular kelmarin hingga mendapat lebih sejuta tontonan.

Menerusi video dirakam secara tinjauan dari dalam kenderaan, lelaki itu mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.

Susulan video berkenaan juga, semalam polis membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’ berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat seorang pegawai polis susulan pemilik video berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan MBSA.