Banteras judi perlu komitmen semua anggota PDRM

Banteras judi perlu komitmen semua anggota PDRM

Fitri Nizam


Pembanterasan aktiviti perjudian memerlukan komitmen seluruh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Aktivis Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Kata beliau, ia bukan hanya mengharapkan tindakan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sahaja.
“Membasmi perjudian ini komitmen polis. Ia sudah menjadi satu elemen untuk menghapuskan aktiviti itu secara mutlak.

“Saya lihat Ketua Polis Negara begitu serius untuk menghapuskan kegiatan judi sejak hari pertama beliau menjawat jawatan berkenaan.“Namun, kesungguhan dan komitmennya itu perlu diteruskan dengan kerjasama dari semua anak buahnya,” katanya pada sidang media secara langsung menerusi Facebook PPIM, hari ini.

Nadzim memberi contoh, pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid telah beberapa kali membuat laporan dan membawa aduan itu kepada polis, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Semalam, akaun Facebook milik Hot Burger Malaysia telah memuatnaik dua rakaman video yang mendedahkan aktiviti perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan perindustrian Sungai Buloh.

Video itu mendapat lebih satu juta tontonan dan rata-rata netizen mengecam ketidakadilan pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menguatkuasakan larangan ke atas premis mesin judi dan perniagaan oleh warga asing.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, beliau faham agak sukar untuk Ketua Polis Negara bertindak seorang diri memerangi kegiatan perjudian, kalau tidak mendapat komitmen dari pegawai bawahannya.
“Kita faham, beliau pun bukannya boleh buat kerja itu seorang diri. Ia bukan suatu yang mudah kerana sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita yang begitu terdedah dengan pelbagai pengaruh, ancaman dan pelbagai benda lain,” katanya.