Isu TH: Jemaah menteri bincang keperluan tubuh RCI

Isu TH: Jemaah menteri bincang keperluan tubuh RCI

Kerajaan akan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu, bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan Tabung Haji (TH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ia akan dibincangkan jemaah menteri dalam masa terdekat dan kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan TH perlunya ada satu badan bebas dan berautoriti.

“Mesyuarat menteri dalam masa terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli berkata kerajaan akan terus mencari penyelesaian mengenai isu TH yang boleh diterima semua pihak.

“Kerajaan juga akan meneliti dan menilai segala transaksi dibuat oleh TH baik yang (dibuat) sebelum ini atau yang akan datang. Fokus kerajaan agar segala operasi TH dijalankan dengan penuh integriti dan amanah,” katanya.

Minggu lalu Zulkifli berkata kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan RCI, sebaliknya menimbangkan penubuhan jawatan kuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga TH jika ada keperluan.

Jawatan kuasa berkenaan akan dianggotai pakar untuk meneliti urus niaga terbabit agar menepati kepentingan TH.

Susulan itu, beberapa pihak meminta kerajaan pertimbangkan semula mewujudkan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH terdahulu.