Judi Sungai Buloh: Bukit Aman siasat kemungkinan penglibatan polis

Judi Sungai Buloh: Bukit Aman siasat kemungkinan penglibatan polis

Bukit Aman telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan anggota polis melindungi pusat perjudian haram di Sungai Buloh.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPs), Datuk Zamri Yahya berkata pihaknya juga akan hubungi pengadu untuk mendapat lebih maklumat berhubung dakwaan kewujudan kedai judi sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

“Kami masih cuba mengesahkan maklumat tertentu daripada pengadu. Kami mahu tahu maklumat spesifik seperti kepada siapa dia adukan hal itu di IPD Sungai Buloh dan JIPs Bukit Aman, seperti didakwanya.

“Maklumat ini penting bagi siasatan kami,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Pagi tadi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata beliau sudah menghubungi Zamri untuk bekerjasama berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata SPRM memandang serius berhubung isu yang ditularkan dalam dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa gagal memantau dan menguat kuasakan undang-undang, selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terbabit.

Kelmarin, Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid menerusi dua video dimuat naik di Facebook mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.

Susulan video berkenaan juga, semalam polis membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’ berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat seorang pegawai polis susulan pemilik video berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam.