KPN ucap terima kasih, kata peniaga burger

KPN ucap terima kasih, kata peniaga burger

Ketua Polis Negara (KPN) ucap terima kasih kerana membantu menyalurkan maklumat kepada polis, kata Mohd Asri Hamid, peniaga Hot Burger Malaysia ketika mengulas pertemuannya dengan Tan Sri Abdul Hamid Bador, hari ini.

Pertemuan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu berlangsung susulan pendedahan Mohd Asri mengenai kewujudan premis judi di Bandar Baru Sungai Buloh yang tular di media sosial sejak kelmarin.

“Ketika perjumpaan tadi, Ketua Polis Negara mengucapkan terima kasih atas maklumat ini dan minta saya menceritakan mengenai perkara yang berlaku.

“Dalam perjumpaan itu, beliau memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya tidak takut dalam mendedahkan perkara ini.

“Malah, Ketua Polis Negara memaklumkan akan membanteras kegiatan judi kerana beliau tidak suka aktiviti itu berleluasa di negara ini,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau juga memaklumkan telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Asri berkata, beliau sudah dihubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, semalam untuk diambil keterangan, susulan laporan polis dibuat Ketua Polis Daerah terhadapnya.

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak polis akan tampil ke balai polis bersama peguam dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

“Persoalan sama ada saya akan ditahan atau tidak selepas mengambil keterangan, itu saya tidak tahu. Namun, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.