Najib pada Guan Eng, jadilah ‘anak jantan’ hadapi pertuduhan di mahkamah

Najib pada Guan Eng, jadilah ‘anak jantan’ hadapi pertuduhan di mahkamah

Jadilah ‘anak jantan’, hadapi tuduhan di mahkamah seperti seorang lelaki sejati, pesan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lim Guan Eng.

Membidas Setiausaha Agung DAP itu, Najib yang juga bekas perdana menteri secara sinis berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan hotel untuk menyediakan kemudahan selesa.

“Adakah anda fikir kompleks SPRM itu sebuah hotel untuk saya bermalam dengan selesa atau adakah SPRM di bawah kerajaan PH anda akan memberikan saya keistimewaan?

“Tidak seperti anda, saya ditahan dua kali untuk semalaman oleh SPRM – sekali bagi kes SRC pada bulan Julai 2018 dan sekali lagi untuk kes 1MDB pada bulan September 2018.

“Jadilah ‘anak jantan’. Hadapi tuduhan di mahkamah seperti seorang lelaki sejati dan bukan menyalahkan saya, salahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sesiapa sahaja,” kata Najib seperti dilaporkan Malaysiakini.

Najib menegaskan beliau ditahan bukan sekali tetapi dua kali dan SPRM ketika itu berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Bukan itu sahaja tetapi isteri saya juga perlu bermalam di SPRM tidak seperti isteri anda yang dibenarkan pulang,” katanya lagi.

Guan Eng yang ditahan pada malam Khamis, mendakwa beliau tidur di lantai kayu lokap tanpa bantal atau tilam tidak seperti Najib dan menggesa SPRM untuk menjelaskan layanan yang disifatkannya sebagai pilih kasih ini.

Bagaimanapun Najib, pada kenyataannya kepada Malaysiakini, berkata beliau tidak mempunyai peluang yang sama dengan pemimpin DAP itu kerana dapat menangguhkan waktu untuk pergi ke ibu pejabat SPRM dari jam 3 petang ke 9.30 malam.

“Mungkin jika anda pergi pada jam 3 petang dan menyelesaikan prosedurnya, SPRM tidak perlu menahan anda?

“Dan tidak seperti anda yang bernasib baik kerana mempunyai seorang peguam negara yang mengaku sendiri yang beliau merupakan lantikan politik untuk menggugurkan kes-kes anda. Ini walaupun terdapat ramai saksi yang sudah memberi keterangan di mahkamah.

“Sementara itu, saya pula tidak memiliki peguam negara yang mesra untuk menggugurkan kes-kes terhadap saya dan saya bersedia untuk melalui keseluruhan proses perundangan termasuklah proses rayuan,” katanya lagi.