Pemuda Umno ajak PAS, Bersatu guna lambang dacing

Pemuda Umno ajak PAS, Bersatu guna lambang dacing

Pemuda Umno hari ini mencadangkan logo dacing atau Barisan Nasional (BN) digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki berkata ketetapan itu akan diangkat kepada kepemimpinan parti untuk dipertimbangkan.

Namun, katanya, kerjasama dengan PAS dalam MN tetap diperkasakan dengan memastikan perundingan secara terbaik dalam pengagihan kerusi agar tidak berlaku pertandingan sesama sendiri atau tiga penjuru yang merugikan.

“Bagitu juga dengan rakan-rakan Bersatu yang sudah menyatakan hasrat menyertai MN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bulan lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu belum membuat keputusan sama ada akan bertanding menggunakan logo baharu atau kekal dengan bulan pada PRU15.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin Umno yang menolak penggunaan logo lain selain dacing pada PRU15 nanti.