PRN Sabah: Anifah nasihat Musa undur diri

PRN Sabah: Anifah nasihat Musa undur diri

[PRN Sabah] Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, dinasihatkan supaya berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin baharu bagi mengambil alih kepemimpinannya.

Nasihat itu diberikan adiknya yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan abangnya sebelum ini sebagai ketua menteri paling lama iaitu 15 tahun.

“Dalam soal hubungan saya dengan abang saya Tan Sri Musa Aman – sudah tentu saya sayangkan dia, dan saya fikir beliau telah melakukan yang terbaik untuk Sabah, tetapi saya berpendapat beliau perlu bagi laluan kepada orang lain untuk ambil alih. 

“Selain itu, banyak antara pemimpin politik yang berbeza pendirian walaupun ada hubungan talian. 

“Di sini pun ada Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Tan Sri Pairin Kitingan. Di Semenanjung ada Tan Sri Shahril Samad (Umno) dan Khalid Samad (PH),” katanya dalam kenyataan media beliau hari ini.

Setakat ini, Musa yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga belum membuat apa-apa kenyataan sama ada mahu mempertahankan kerusi itu atau tidak.

Sebelum ini, Musa bersama 32 penyandang DUN memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung pembubaran DUN dan keputusan sama ada semakan itu dibenarkan atau tidak dijangka diketahui pada 17 Ogos ini.

Ia berikutan kegagalan Musa bersama kumpulannya mengemukakan akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagai bukti mendapat majoriti mudah untuk mengambil alih kerajaan negeri apabila DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu.