PRN Sabah: Lajim tak bertanding, beri laluan kepada Isnin di Klias

PRN Sabah: Lajim tak bertanding, beri laluan kepada Isnin di Klias

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Lajim Ukin, mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketika dihubungi Malaysiapost, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu menjelaskan Datuk Isnin Aliasnih akan mempertahankan kerusi Dun tersebut atas tiket Perikatan Nasional (PN)

Isnin adalah antara sembilan Adun Umno Sabah yang keluar parti pada Disember 2018, sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beberapa bulan kemudian.

“Saya tidak akan bertanding pada PRN kali ini. Saya beri peluang kepada Datuk Isnin untuk mempertahankan kerusi Klias dan memastikan kemenangan besar di kerusi berkenaan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Lajim cuba mempertahankan kerusi DUN Klias atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) yang ditubuhkannya, namun tewas di tangan Isnin yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Umno.

Ia adalah kekalahan pertama Lajim di kerusi berkenaan sejak mula bertanding atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985.

Lajim keluar PBS dan menyertai Umno pada 1994 sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU 2013 dan kemudian menubuhkan pula Harapan pada 2016.

Beliau kemudian membubarkan Harapan selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU 2018 dan kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Walaupun tidak bertanding, Lajim menjelaskan beliau bukan bersara daripada politik, sebaliknya akan terus membantu Bersatu untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi parti itu pada PRN kali ini.

Lajim diamanahkan sebagai Pengarah Strategi Pilihan Raya Bersatu Sabah bagi membantu mengenal pasti kerusi ditandingi parti itu dan membantu semua calonnya untuk menang.

“Saya tidak tawar diri bertanding kali ini tapi tidak bermakna saya bersara. Selaku Pengarah Strategi Pilihan Raya, saya akan bantu Isnin dan calon lain daripada Bersatu untuk memenangi kerusi masing-masing,” katanya.

Ini bermakna Isnin yang juga Ketua Bersatu Beaufort bakal mempertahankan kerusi DUN Klias atas tiket PN pada PRN kali ini.

Beliau dijangka ditentang calon Parti Warisan Sabah (Warisan), kemungkinan besar diwakili Ketua Warisan Beaufort, Datuk Johair Matlani.