SPRM perlu siasat kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan – Ketua AMK

SPRM perlu siasat kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan – Ketua AMK

“Saya sedia menggunakan kedudukan sebagai timbalan menteri untuk kepentingan politik,” demikian kenyataan kontroversi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Kenyataannya itu mendapat kecaman Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir yang turut mencadangkan pemimpin Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenyataan berkenaan.

Akmal percaya kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang menamakan dirinya sebagai calon Ketua Armada Nasional pada pemilihan parti tahun ini, mempunyai kaitan dengan usahanya untuk mendapatkan sokongan dan undi.

“Saya rasa wajar diteliti dengan lebih lanjut. Malah, saya menyeru kawan-kawan dalam Armada Nasional untuk membuat laporan secara rasmi kepada SPRM kerana ia melibatkan pemilihan mereka.

“Cuma dalam masa sama juga, calon yang mencabar mereka sebelum ini kantoi ataupun terdedah melobi surat jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jadi, saya tidak tahu siapa yang lebih hebat menggunakan surat sokongan ataupun surat permohonan ini,” katanya yang dipetik MalaysiaKini.
Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata, sebagai timbalan menteri, beliau dapat “permudahkan” urusan untuk membantu ahli Armada melalui exco-exco yang dilantik kelak.

Kenyataan tersebut dirakam ketika Wan Ahmad Fayhsal berkempen bersama Armada Pahang bagi pemilihan calon Ketua Armada yang dijadual berlangsung 27 September ini.

Difahamkan Akmal merujuk kepada isu surat Exco Armada, Muzzammil Ismail kepada Menteri Besar Kedah yang memintanya pertimbangkan jawatan Ahli Lembaga Pengarah sebuah agensi kerajaan negeri atau GLC

Mengulas lanjut kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu, Akmal berkata, untuk memastikan tadbir urus baik, sekurang-kurangnya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi amaran kepada timbalannya terhadap isu tersebut.

“Sikap seperti itu amat tidak sihat kepada golongan belia terutama ketika rakyat berdepan dengan suasana Covid-19.

Jadi, dalam isu good governance ini, saya mohon kalau perdana menteri tidak berani tegur anak buahnya, saya rasa paling kurang pun meletakkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk menegurnya agar tidak menjual ataupun menggunakan kedudukannya untuk kepentingan politik,” katanya.