Wanita pakai gelang ‘pink’ lolos PKPD dikompaun

Wanita pakai gelang ‘pink’ lolos PKPD dikompaun

[Covid-19] Seorang wanita memakai gelang ’pink’ yang memboloskan diri keluar dari luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) dikompaun RM1,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, wanita berusia 30-an itu ditahan oleh pengurusan sebuah pasar raya di Jitra, Kedah ketika hendak membeli barang keperluan asas di situ, beberapa hari lalu.

Mohd Ismail berkata, pihak pengurusan pasar raya itu menghubungi polis sebelum menyerahkannya untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Berkemungkinan besar dia keluar melalui lorong tikus kerana semua jalan besar kita dah tutup di lapan sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan sejak 3 Ogos lalu sepanjang Temco berkuat kuasa sehingga terlepas ke pasar raya itu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata, wanita itu memberi alasan tidak tahu dia hanya dibenarkan membeli barangan di kawasan Temco sahaja.

Katanya, individu yang memakai gelang merah jambu hanya dibenarkan keluar kira-kira satu kilometer di kawasan Temco dan akan dikenakab tindakan jika melebihi had dibenarkan.