Antonio Banderas disahkan positif Covid-19

Antonio Banderas disahkan positif Covid-19

[Dunia] Bintang Hollywood kelahiran Sepanyol, Antonio Banderas memaklumkan bahawa beliau dikuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, pelakon yang terkenal menerusi filem ‘The Mask of Zorro’ itu merasakan dirinya “agak sihat”.

Banderas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Isnin lalu.

“Saya terpaksa menyambut ulang tahun kelahiran saya ke-60 dalam kuarantin selepas disahkan positif Covid-19,” kata pelakon yang juga pernah membintangi filem “Philadelphia” dalam catatan di media sosial yang disertakan sekeping gambar hitam putih beliau ketika masih bayi.

“Saya rasa agak sihat, hanya sedikit letih berbanding biasa dan yakin saya akan pulih secepat mungkin.

“Saya akan memanfaatkan pengasingan ini dengan membaca, menulis, berehat dan terus membuat perancangan selepas hidup selama 60 tahun, di mana saya penuh dengan hasrat dan semangat,” tulis beliau.

Bagaimanapun, Banderas yang pernah mengalami serangan jantung pada tahun 2017, tidak memaklumkan di mana beliau berada ketika ini.

Beliau tidak menghadiri satu majlis amal yang sepatutnya diacarakannya di Marbella, selatan Sepanyol pada Ahad, tidak jauh dari kampung halamannya di Malaga.

Januari lalu, beliau menerima pencalonan pertama bagi Anugerah Oscar menerusi filem “Pain and Glory” arahan Pedro Almodovar, namun kategori pelakon terbaik itu akhirnya dimenangi Joaquin Phoenix.