Guan Eng berang isteri diheret dalam politik balas dendam

Guan Eng berang isteri diheret dalam politik balas dendam

Fitri Nizam

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berang kerana isterinya, Betty Chew didakwa di mahkamah semata-mata kerana pekerjaannya sebagai perunding perundangan.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut menyifatkan tindakan melibatkan ahli keluarganya sebagai politik balas dendam.

“Saya berasa marah kerana isteri saya didakwa semata-mata kerana pekerjaannya sebagai perunding perundangan.

“Mengapa mengheret isteri saya ke dalam isu ini sedangkan selama ini dia berusaha sendiri sebagai peguam untuk mencari pendapatan halal?,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Guan Eng mendakwa, isterinya tidak memiliki barang kemas mahal, jam tangan mewah, beg tangan berjenama mahu pun puluhan juta wang tunai.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjumpai apa-apa wang rasuah dalam akaun bank kami mahupun dalam bentuk tunai. Jadi di manakah unsur rasuahnya?,” soalnya lagi.

Malah, bekas menteri kewangan itu berkata, tekanan terhadapnya menerusi pertuduhan terbaharu itu menjadikan mereka lebih bertekad untuk melawan rasuah dan kebatilan.

“Kami tidak terlibat dalam rasuah. Kami sentiasa dan akan terus melawan rasuah. Pertuduhan terbaru ini akan menjadikan kami lebih bertekad, lagi mereka menekan, lagi kami akan lawan rasuah dan kebatilan.

“Kita semua perlu berani kerana benar, serta yakin bahawa kebenaran dan keadilan akan menang jua,” katanya.

Chew, 56, didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.



Foto Kredit: Facebook Lim Guan Eng