Harga pelitup muka diturunkan RM1 sekeping

Harga pelitup muka diturunkan RM1 sekeping

[Parlimen] Kerajaan akan menurunkan harga siling pelitup muka yang dijual pada kadar RM1.50 ketika ini kepada RM1 sekeping.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata ia bagi membantu rakyat khususnya ibu bapa yang perlu membekalkan pelitup muka untuk anak-anak ke sekolah.

“Harga pelitup muka itu di peringkat pemborong pula akan dijual pada harga 95 sen sekeping,

“Harga semasa pelitup muka akan terus diturunkan di bawah paras 95 sen sekeping di peringkat pemborong dan RM1 sekeping di peringkat runcit.

“Kita bersedia untuk turunkan lagi kepada paras harga yang lebih rendah pada masa akan datang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 23 Julai lalu, Alexander berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menetapkan harga siling pelitup muka diturunkan sebanyak 30 sen mulai 15 Ogos depan.

Keperluan untuk menurunkan harga pelitup muka pada masa depan perlu ada selain memastikan bekalan itu sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, harga di peringkat pemborong akan diturunkan dari RM1.45 kepada RM1.15, sementara harga runcit dari RM1.50 kepada RM1.20 seunit.

Langkah itu katakan diambil selaras dengan keputusan kerajaan untuk menimbangkan keperluan mewajibkan pelitup muka di tempat-tempat awam berikutan penularan pandemik COVID-19 yang belum berakhir.