Judi Sungai Buloh: ‘Berani buat, berani tanggung’, kata KP Selangor

Judi Sungai Buloh: ‘Berani buat, berani tanggung’, kata KP Selangor

Polis Selangor tidak akan campur tangan dalam siasatan dan tindakan terhadap pegawai dan anggotanya di Sungai Buloh, jika benar mereka terbabit dalam unsur rasuah susulan pendedahan mengenai kegiatan perjudian di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk urusan siasatan dan tindakan.

“Kita tidak mahu nanti kita dikatakan berat sebelah, jadi kita serahkan siasatan kepada dua pihak berkenaan.

“Sekiranya memang benar ada anggota kita yang terbabit dengan kegiatan haram seperti didedahkan itu, maka terpaksalah mereka terima akibatnya. Mereka berani buat, maka beranilah tanggung,” katanya seperti dilaporkan BH.

Noor Azam menambah Polis Selangor tidak akan berkompromi jika terbukti ada anggota dan pegawainya melindungi kegiatan haram seperti didedahkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid berkaitan aktiviti perjudian dan penjualan rokok seludup.

Sementara itu, beliau menjelaskan pihaknya tidak akan mengambil tindakan terhadap Mohd Asri kerana beliau bukan suspek, sebaliknya pemberi maklumat.

“Justeru, kita tidak akan ambil sebarang tindakan terhadapnya.

“Kita hargai setiap maklumat dan pendedahan yang disalurkan orang awam namun berharap segala maklumat itu disalurkan dengan cara yang betul demi keselamatan mereka sendiri,” katanya.