Lebih baik muafakat sesama Melayu dan Islam daripada jadi tali barut DAP

Lebih baik muafakat sesama Melayu dan Islam daripada jadi tali barut DAP

Nurul Huda Abhar

Lebih baik permuafakatan sesama parti bangsa Melayu berbanding terus menjadi “khadam” parti komunis, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Hairi turut mempersoalkan keikhlasan DAP dalam membela nasib Melayu dan Bumiputera.

Beliau juga kesal dengan kenyataan Adun Paloh Sheikh Omar Ali yang menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sebagai anak tiri dan tongkat dalam kerajaan negeri tersebut.

“Selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, terserlah sikap DAP yang mempergunakan kuasa itu sepenuhnya untuk mencorak Malaysia sebagai sebuah negara DAP.

“Akhirnya, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri terpaksa meletak jawatan dan terkuburlah kerajaan PH yang diterajui DAP,” katanya.

Beliau turut memetik kembali kata-kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang memberitahu hanya menjadi “barua” sewaktu bersama dengan DAP.

Mengulas penubuhan sebuah lagi parti baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahatdir Mohamad, Mohd Hairi menganggap matlamat parti itu tidak jelas.

“Tidak ke mana pun parti baru yang ingin ditubuhkan oleh Tun Mahathir itu, prosesnya bukan mudah dan matlamat parti itu juga tidak jelas,” katanya.

Dalam satu kenyataaan di laman sosial semalam, Sheikh Onar menganggap parti Bersatu dilayan seperti anak tiri oleh Kerajaan Johor di bawah pentadbiran Datuk Hasni Mohammad selaku Menteri Besar Johor.

Beliau berkata semasa program Korban Muafakat Nasional Johor dilaksanakan, Umno dan PAS terlibat sama dalam
majlis tersebut tetapi Bersatu tidak dijemput malah Bersatu menjalankan aktiviti secara berasingan.

Kenyataan tersebut disangkal oleh Pemuda PAS Johor yang menganggap dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

Ketua Pemuda Pas negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfoz berkata Sheikh Omar hanya menggunakan alasan program Korban Muafakat Nasional Johor untuk menyokong kenyataannya.

“Beliau patut merasa malu dengan kenyataannya kerana tuduhan beliau telah dinafikan oleh Mazlan Bujang selaku Pengerusi Bersatu Johor dalam satu kenyataan yang lain di mana 26 Ketua Bahagian Bersatu Johor masih menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Itu sekaligus menyokong kerajaan sedia baik diperingkat pusat mahupun negeri,” katanya.

Ahmad Nawfal juga mengingatkan Syeikh Omar Ali agar berhenti dari cubaan untuk melaga-lagakan kerjasama baik yang berlaku diantara PAS, Umno dan Bersatu selaku tunggak utama kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor.

“Usaha tersebut dilihat sia-sia dan hanya mengundang dosa. Adalah lebih baik bermuafakat sesama orang Islam dan Melayu daripada menjadi talibarut DAP,” ujarnya lagi.