PRN Sabah: Langkah percepatkan pengeluaran geran tanah beri imej positif kepada Warisan

PRN Sabah: Langkah percepatkan pengeluaran geran tanah beri imej positif kepada Warisan

Langkah kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi perhatian kepada masalah permohonan tanah beri imej positif kepada parti tersebut dan sekutunya, kata penganalisis.

Penganalisis politik yang juga pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata usaha mempercepatkan pengeluaran geran tanah yang tertangguh sekian lama yang dilaksanakan sangat dirasai rakyat terutama di kawasan luar bandar.

“Memang benar sebelum ini ada yang memohon tanah sehingga 10 tahun, malah lebih daripada itu tetapi tiada apa-apa jawapan daripada jabatan yang berkaitan , jadi tentu ianya mengecewakan mereka.

“Apabila Warisan mengambil langkah mempercepatkan pengeluaran geran tanah itu, ia sudah tentu dialu-alukan oleh rakyat terutama penduduk kampung kerana hak milik tanah sangat penting untuk mereka meneruskan kerja bertani.

“Jadi, pada pendapat saya tiada masalah tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Warisan bagi mempercepatkan pengeluaran geran tanah kerana ia adalah hak kerajaan,” katanya ketika dihubung Malaysia Post, hari ini.

Beberapa hari lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelajah beberapa kawasan di pantai timur Sabah bagi mengagihkan geran tanah kepada pemohon di kawasan berkenaan dengan ada antara penerimanya sudah memohon 40 tahun.

Ada yang melihat tindakan itu sebagai satu bentuk kempen Warisan bagi memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar supaya sekali lagi memilih mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Permohonan tanah terutama yang membabitkan tanah hak adat anak negeri (NCR) menjadi isu penting di Sabah, memandangkan masih ramai penduduk terutama di luar bandar yang sudah sekian lama menduduki tanah berstatus NCR tetapi belum ada geran hak milik.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu, turut menyifatkan langkah kerajaan negeri pimpinan Warisan mempercepat pengeluaran geran tanah adalah sesuatu yang baik kepada rakyat dan imej kerajaan negeri.

“Orang kampung memang bangga apabila permohonan mereka untuk mendapatkan geran tanah selama bertahun-tahun akhirnya diluluskan oleh kerajaan Warisan, sebab itu adalah hak mereka sebagai orang asal di negeri ini.

“Saya difahamkan, geran tanah yang diagih-agihkan di seluruh negeri ketika ini sudah diluluskan sebelum ini, hanya tinggal untuk diserahkan kepada penerimanya melalui majlis khas yang dihadiri Ketua Menteri,” katanya.