PRN Sabah: Shafie perlu cermin diri sendiri sebelum label orang lain katak – PBS

PRN Sabah: Shafie perlu cermin diri sendiri sebelum label orang lain katak – PBS

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digesa agar berhenti menyalahkan pemimpin yang meninggalkan partinya untuk menyertai parti lawan.

Sebaliknya Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai, mengingatkan Mohd Shafie supaya melihat diri sendiri sebelum melabelkan orang lain dengan istilah ‘katak’.

“Sebenarnya, ramai pengikut beliau dalam Warisan adalah ‘katak’.

“Contohnya, timbalan beliau, Datuk Darell Leiking melompat dari PKR, manakala Datuk Junz Wong (Naib Presiden Warisan) daripada DAP.

“Darell sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Penampang atas tiket PKR, manakala Junz menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas atas tiket DAP,” jelasnya.

Joniston yang juga penyandang kerusi DUN Kiulu, berkata kedua-dua mereka sebelum ini turut dihentam parti asal masing-masing, namun tidak mengosongkan kerusi.

Tambahnya, kerajaan pimpinan Warisan hanya menjadi tempat persinggahan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan beberapa wakil rakyat lain yang meninggalkan parti pada 2018.

“Tiada seorangpun daripada wakil rakyat ini mengosongkan kerusi dan Mohd Shafie tidak pernah mengarahkan mereka berbuat demikian kerana ia memberi manfaat kepadanya.

“Tiba-tiba, apabila wakil rakyat ini membuat keputusan menentangnya, dia menghentam mereka sebagai pembelot dan mengkhianati mandat rakyat.

“Ia kelihatan seolah-olah definisi ‘katak’ bagi Mohd Shafie ialah orang yang tidak menyokongnya,” katanya.

Seramai 13 wakil rakyat meninggalkan kerajaan pimpinan Warisan dan menyatakan sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang berusaha mengambil alih kerajaan negeri pada 29 Julai lalu.

Bagaimanapun usaha Musa gagal apabila Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri.