Remaja lelaki berperwatakan wanita cedera disamun kenalan MiChat

Remaja lelaki berperwatakan wanita cedera disamun kenalan MiChat

[Jenayah] Seorang remaja lelaki berperwatakan wanita cedera disamun dua lelaki warga Bangladesh yang dikenali melalui aplikasi sembang sosial MiChat di Kampung Gambut dekat Pengerang, Johor, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, remaja berumur 17 tahun menemani suspek berusia 30-an membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di Bandar Penawar.

Mangsa bagaimanapun disamun di tepi jalan menyebabkan kerugian lebih RM200 termasuk wang tunai dan telefon bimbit, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri dan kaki kanan akibat dipukul.

Beliau turut menafikan maklumat yang tular di media sosial kononnya mangsa diculik dan cubaan rogol, manakala siasatan mendapati remaja itu adalah lelaki berperwatakan perempuan.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shukor Ismail di talian 011-10823779.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.