Saya hanya akur arahan Timbalan Pendakwa Raya sahaja – bekas Ketua  Pengarah SPRM

Saya hanya akur arahan Timbalan Pendakwa Raya sahaja – bekas Ketua Pengarah SPRM

Nurul Huda Abhar


Bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mendakwa tidak terbabit dengan sebarang arahan daripada menteri atau pemimpin parti politik dalam siasatan kes.


Datuk Shukri Abdul dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau sentiasa menjaga integriti ketika menjalankan kes siasatan.


“Dalam mana-mana siasatan, saya tak akan patuh dengan arahan termasuk menteri atau Perdana Menteri,” katanya.


Beliau berkata demikian mengulas dakwaan yang menyatakan terdapat sepucuk surat bertarikh 10 Oktober 2018 atas namanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.


Surat yang diminitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada SPRM itu meminta beliau membatalkan pembekuan akaun milik seorang ahli perniagaan.


Pendedahan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen semalam.


Menurut Shukri, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pegawai bawahannya supaya melepaskan pembekuan akaun ahli perniagaan dikenali sebagai Tan Sri Lim Soon Ping yang terlibat dalam kes penggubahan wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM4 juta.


“Andainya betul akaun berkenaan dibatalkan pembekuannya, ianya bukan arahan saya.


“Dalam kes siasatan, saya hanya akur arahan Timbalan Pendakwa Raya sahaja, bukan arahan dari pihak yang tidak berkaitan,” ujarnya lagi.