Suami didakwa bunuh pensyarah

Suami didakwa bunuh pensyarah

Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada akhir Julai lepas.

Tertuduh, Mohd Hairil Izzuan A Samad, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Memetik laporan Bernama, Mohd Hairil Izzuan dituduh membunuh isterinya, Maizatulnisa Othman, 40, di Tasik Cyber Valley Park, Jalan Persiaran Sepang, Cyberjaya, antara 11 pagi, 29 Julai dan 1.04 pagi, 30 Julai lepas.

Mohd Hairil Izzuan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selepas fakta pertuduhan dibacakan, tertuduh yang memakai baju serba hitam meminta tempoh diberikan untuk melantik peguam bela.

Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan mahkamah bahawa keluarga tertuduh sudah dimaklumkan mengenai pertuduhan hari ini tetapi tiada ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan seorang pensyarah universiti ditemui mati selepas dipercayai dibunuh suaminya yang juga bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).

Mangsa dipercayai dijerut lehernya dengan tudung oleh suspek, yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian.