Sultan Johor beri amaran, jangan jual daging haiwan eksotik

Sultan Johor beri amaran, jangan jual daging haiwan eksotik

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran kepada pemilik restoran supaya segera menghentikan penjualan daging haiwan eksotik di negeri itu.

Baginda bertitah, sekiranya masih ada yang ingkar dan terus menjual daging haiwan eksotik, mereka bakal berdepan tindakan tegas dari pihak berkuasa.

“Anda akan berdepan dengan tindakan jika ditangkap,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) semalam.

Amaran Sultan Ibrahim itu susulan penahanan beberapa suspek oleh polis selepas terlibat dalam aktiviti pemburuan haram berskala besar seperti didedahkan baginda, semalam.

Semalam baginda bertitah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta polis menjalankan siasatan berhubung kegiatan pemburuan haram itu.

Sultan Ibrahim bertitah, pemburu haram terbabit juga disyaki menjual daging haiwan eksotik kepada restoran.

“Pengedaran daging haiwan eksotik ini perlu dihentikan segera. Saya memberi amaran terakhir kepada pemilik restoran yang berbuat demikian.

“Dengan segera hentikan penjualan daging haiwan eksotik ini, jika tidak anda akan berdepan dengan tindakan jika ditahan,” titah baginda.




Kredit Foto: Royal Press Office