Tidak berperi kemanusiaan, kucing dilapah hingga hilang organ dalaman

Tidak berperi kemanusiaan, kucing dilapah hingga hilang organ dalaman

Kejam! Itu saja yang boleh digambarkan terhadap individu yang tidak berhati perut melapah bahagian kepala seekor kucing untuk mengambil bahagian organ dalaman serta tengkorak dan otak haiwan terbabit.

Perbuatan kejam dan tidak berperi kemanusiaan itu dilaporkan menerusi satu hantaran di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) semalam.

Menurut Animal Malaysia, kejadian menimpa kucing itu berlaku di Bandar Kinrara, Puchong pada 6 Ogos lalu dan pemiliknya menghubungi pihaknya untuk mendapatkan pandangan.

“Apalah dosa sebesar mana sangatlah kesalahan kucing betina ini hingga sanggup pelaku merobek perutnya untuk organ dalaman seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang?

“Bahagian tengkoraknya hilang dan hanya tinggal kulit kepala lengkap dengan hidung dan telinganya. Darahnya juga kering dan tiada tompokan darah di mana-mana kawasan ia ditemui,” katanya.

Keadaan kucing malang sebelum dan selepas organ dalamannya hilang. – Foto Persatuan Haiwan Malaysia

Menurut Animal Malaysia, kucing malang itu ditemui pemiliknya hanya beberapa meter di belakang rumahnya.

“Adakah Kucing Kinrara menjadi mangsa pemujaan? Atau pemakan organ dan isi kucing?

“Animal Malaysia masih menanti jawapan daripada siasatan sekeliling. Diharapkan kita mendapat petunjuk dan mempunyai saksi kejadian.

“Kucing Kinrara bukan mati disebabkan kejadian biasa atau serangan haiwan lain. Cara torehan dan potongan adalah hasil tangan manusia,” katanya.

Sehubungan itu, persatuan berkenaan meminta mana-mana saksi yang ada maklumat dalam aktiviti pembunuhan itu untuk menghubungi WhatsApp hotline Animal Malaysia +601120901097.