4 penguat kuasa ditahan, Anwar minta MB Selangor ambil tindakan tegas

4 penguat kuasa ditahan, Anwar minta MB Selangor ambil tindakan tegas

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Selangor mengambil tindakan tegas terhadap kes rasuah dan penyalah gunaan kuasa membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Anwar berkata beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan telah menasihati beliau berkaitan perkara berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap salah laku ini dan sesiapa yang didapati bersalah akan dilucutkan jawatan serta-merta.

“Tindakan tegas juga akan diambil ke atas sesiapa yang mengumpul kekayaan melebihi pendapatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau malam tadi.

Pagi semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga penguat kuasa MBSA kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis tanpa lesen sekitar Sungai Buloh.

Mereka terdiri dua penguat kuasa Cawangan Sungai Buloh dan seorang dari Shah Alam, manakala seorang peniaga rokok seludup berketurunan Aceh turut ditahan kerana tiada dokumen dan akan diserah kepada Jabatan Imigresen.

Lelaki Aceh itu dikatakan membayar RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelak sebarang tindakan.

Susulan itu, seorang lagi anggota penguat kuasa MBSA ditahan oleh SPRM), menjadikan empat suspek ditahan setakat ini kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.