Dakwaan Asri Janggut keterlaluan, kata KPN

Dakwaan Asri Janggut keterlaluan, kata KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan anggota polis tidak menjaga solat oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut sebagai keterlaluan.

Ia susulan satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut, 42, dalam satu sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat.

Abdul Hamid berkata, isu solat ini tidak sepatutnya dibangkitkan dalam khalayak ramai.

“Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan… didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.

“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara mempunyai surau,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Jelas beliau, pihaknya telah menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing.

“Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang… itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” katanya.

Menurutnya, setiap calon konstabel dan pegawai bagi pengambilan baharu juga diwajibkan menjalani ujian asas agama.

“Ini telah lama dilakukan dan ujian kefahaman asas agama kepada calon agama Islam ini membolehkan PDRM nilai siapa yang layak menjadi anggota polis.

“Dalam Rukun Negara juga jelas menyatakan yang asasnya adalah kepercayaan kepada Tuhan. Pucuk pimpinan tidak mahu orang berisiko diberi kuasa,” katanya.