Dosa besar ingkar arahan TEMCO

Dosa besar ingkar arahan TEMCO

Tindakan melanggar peraturan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 adalah dosa besar dari segi agama, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, tindakan itu bukan hanya salah di sisi undang-undang, malah ia satu dosa besar kerana membahayakan nyawa orang lain dan melanggar ajaran Nabi Muhammad dalam menangani wabak penyakit.

“Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdurrahman Auf, bahawa Nabi Muhammad pernah memberi arahan jika kita mendengar (wabak penyakit) taun di satu tempat jangan masuk dan orang yang berada di dalam jangan keluar,” katanya.

Kata Dr Mohd Asri, inilah yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi menunaikan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat.

Jelas beliau, rakyat hendaklah patuh arahan TEMCO dan ahli agama yang berada dalam kawasan berkenaan iaitu ulama, ustaz dan imam perlu mengingatkan orang ramai agar tidak keluar dari kawasan wabak dan patuhi arahan kerajaan sehingga tempoh tamat.

Katanya, dalam kes penularan Covid-19, individu yang bersikap degil melanggar TEMCO berdosa kepada semua orang yang terkena jangkitan dengan wabak yang disebarkan itu.