Hijau Kuning bakal ‘diTelajak Laris’?

Hijau Kuning bakal ‘diTelajak Laris’?

Pengasas syarikat kosmetik terkenal negara, D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengakui masih berminat dengan pasukan Kedah.

Sebelum ini pada 2016, beliau berminat untuk menaja, namun kali ini bersedia membeli skuad Helang Merah, sekali gus menjadi pemilik penuh pasukan Kedah seperti mana syarat penswastaan yang ditetap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat semua pasukan Liga Malaysia.

Jelas Aliff yang terkenal dengan tagline Terlajak Laris itu, beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak tempatan dan menanti peluang untuk terbabit secara aktif.

Katanya, selain Kedah yang juga negeri kelahiran isterinya, beliau sedang meneliti pasukan lain dengan kriteria utama adalah mempunyai ‘fans base’ yang ramai dan berpengaruh.

“Setakat ini saya masih memilih pasukan bola sepak yang paling kuat dan paling berpengaruh. Bagi saya bukan senang untuk memilih sebab orang kata persaingan semakin sengit. Jadi saya tengah tercari-cari jugalah mana yang terbaik.

”Kalau boleh nak (beli) pasukan Kedah. Kalau Johor (Johor Darul Ta’zim) memang tak mampu. Rasanya itu saja yang ada pengaruh sangat kuat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pada 2016 lalu, Aliff pernah menggegar arena bola sepak negara terutamanya Liga M apabila hampir menaja pasukan Kedah.

Bagaimanapun, pada saat akhir rundingan dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menemui kegagalan apabila syarat yang dikemukakan D’Herbs untuk tajaan bernilai RM30 juta itu tidak dapat ditunaikan Presiden KFA ketika itu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Saya melihat orang kata industri bola sepak ini diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain dapat menaikkan jenama, paling penting dapat menyatu padukan keluarga dan pernigaaan serta sebagainya,” katanya.