Judi Sungai Buloh: 4 penguat kuasa MBSA, peniaga Acheh direman seminggu

Judi Sungai Buloh: 4 penguat kuasa MBSA, peniaga Acheh direman seminggu

Empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang peniaga Acheh direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula hari ini.

Ini berhubung kes mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di sekitar Sungai Buloh, Selangor.

Perintah reman terbabit dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya sehingga 18 Ogos ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, mereka tiba di pekarangan mahkamah jam 8.40 pagi tadi berpakaian lokap SPRM dengan tangan bergari.

Mereka yang berusia 41 hingga 45 tahun tersebut keluar dari mahkamah pada jam 9.20 pagi dan dibawa terus ke SPRM Putrajaya.

Kesemua suspek ditahan semalam susulan pendedahan mengenai kegiatan perjudian haram dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid.

Daripada empat penguat kuasa tersebut, tiga dari Cawangan MBSA Sungai Buloh manakala seorang dari Shah Alam.

Turut ditahan adalah peniaga rokok seludup dari Aceh yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan dia dipercayai membayar RM300 sebulan kepada penguat kuasa MBSA bagi mengelak tindakan.




Kredit Foto: Bernama TV