Kenyataan Asri Janggut tidak wakili PPIM

Kenyataan Asri Janggut tidak wakili PPIM

Fitri Nizam

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon maaf terutamanya kepada anggota polis dan tentera serta pihak yang terkesan dengan kata-kata pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid berhubung pasukan keselamatan itu tidak menjaga solat.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Mohd Asri atau dikenali sebagai Asri Janggut adalah sangat tidak wajar dan tidak berasas.

“Kami di PPIM sama sekali tidak menyokong dan menyanggah segala tindakan yang tidak wajar olehnya,” katanya.

Menjelaskan status Asri Janggut, PPIM berkata, Asri hanyalah rakan strategiknya justeru, kenyataan dikeluarkannya adalah bersifat peribadi.

“Asri hanyalah rakan strategik PPIM di mana kata-katanya adalah bersifat peribadi yang tidak mewakili dasar PPIM sama sekali.

“Bagaimanapun kami di PPIM mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan kerana sebahagian kenyataannya dibuat semasa di platform PPIM,” katanya.

PPIM juga menyatakan sangat terkilan dan sekali lagi memohon jutaan kemaafan daripada semua atas sebarang tindakan yang tidak wajar.

“Kami sedang mengambil beberapa tindakan dan akan mengeluarkan kenyataan susulan dari semasa ke semasa berhubung perkara ini,” katanya.