Najib lega tiada ‘Kluster Najib’

Najib lega tiada ‘Kluster Najib’

Nurul Huda Abhar

Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa syukur kerana tiada ‘Kluster Najib’ tercetus susulan perhimpunan penyokongnya di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 28 Julai lalu.

Bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran di Facebook berkata hari ini genap 15 hari selepas penghakiman kes SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

“Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi Covid 14 hari sudah berlalu. Alhamdulillah,” tulisnya.

Namun begitu, beliau memberi peringatan kepada umum supaya kekal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tambahnya, situasi semasa perbicaraannya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menyaksikan ramai penyokong hadir di luar pekarangan kompleks tersebut tidak harus diulangi.

“Tapi kita jangan ulangi kesilapan hari itu. Kita perlu sentiasa mengamalkan SOP demi kebaikan semua,” ujarnya.

Lebih 1,000 penyokong Najib berkumpul di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu, sebagai tanda sokongan terhadap beliau berhadapan keputusan mahkamah.

Situasi penyokong yang berkumpul tanpa menghiraukan penjarakan fizikal, malah ada yang tidak memakai pelitup muka menimbulkan kegusaran orang ramai yang binbang kemungkinan muncul kluster baharu Covid-19.