‘Ops gergasi’ gempur Bandar Baru Sungai Buloh

‘Ops gergasi’ gempur Bandar Baru Sungai Buloh

Fitri Nizam

Sebuah premis perjudian dalam talian yang dipercayai berselindung di sebalik pusat snuker di Bandar Baru Sungai Buloh antara yang disita dalam operasi bersepadu hari ini

Operasi besar-besaran bermula jam 10 pagi itu disertai 230 anggota penguat kuasa pelbagai agensi diketuai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membanteras penjaja dan gerai tanpa kebenaran yang beroperasi di bahu jalan.

Malaysia Post yang menyertai operasi itu bagaimanapun mendapati ketika operasi dijalankan premis itu sudah tidak lagi beroperasi.

Premis dua tingkat itu menempatkan permainan snuker namun di sebaliknya didapati ada bilik tersembunyi, dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian atas talian.

Turut kelihatan meja dan sofa di dalam bilik yang tersorok di pusat snuker itu menyebabkan MBSA mengambil tindakan menyita peralatan milik premis terbabit.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, operasi bersepadu ini diadakan bagi membanteras penjaja tanpa kebenaran di kawasan ini.

Menurutnya, dari awal 2020 hingga Julai ini sebanyak 25 premis perniagaan tanpa lesen diusahakan warga tempatan diambil tindakan.

“Dalam tempoh sama, 19 premis perniagaan tanpa lesen dikendalikan warga asing disita di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

“Tindakan sitaan diambil mengikut undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam) dan peruntukan 3 (menjaja tanpa lesen) serta Peruntukkan 42 (kuasa sitaan),” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Rashidi berkata, operasi hari ini turut membabitkan perobohan ke atas premis yang mendirikan kerja tambahan tanpa kelulusan MBSA.

“Tindakan diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“MBSA juga mengalu-alukan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memberi komitmen agar siasatan segera dilakukan sekiranya ada dalam kalangan pegawai MBSA melakukan salah guna kuasa di dalam menjalankan tugas di Sungai Buloh,” katanya.

Sebelum ini dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia itu turut mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.

Selain itu, video yang dirakam menerusi tinjauan semasa menaiki kereta itu juga mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada ‘tauke’ kedai mesin judi.

Kedua-kedua video berkenaan itu mendapat perhatian netizen yang rata- rata mengakui kawasan Sungai Buloh menjadi lubuk kepada aktiviti haram berkenaan.