Pemuda UMNO mahu KPT beri pinjaman PTPTN 100 peratus

Pemuda UMNO mahu KPT beri pinjaman PTPTN 100 peratus

Nilam Oshman

Pemuda Umno menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyemak semula dasar pemberian pinjaman Perbadanan Tabungan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara berkadar kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata PTPTN perlu memberikan pinjaman penuh 100 peratus merangkumi yuran pengajian dan sara hidup mengikut pendapatan isi rumah.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu menamatkan amalan pemberian pinjaman penuh dengan alasan kedudukan kewangan kerajaan yang teruk.

“Keputusan terdahulu oleh PH dibuat dengan tergesa-gesa, separuh masak dan tidak mengambil kira keupayaan sebenar rakyat yang selama ini mendapat banyak manfaat daripada dasar pinjaman PTPTN di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sebagai contoh, dasar PTPTN zaman PH memerintah langsung tidak mengambil kira bilangan anak yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai IPT, walaupun pendapatan isi rumah melangkaui tahap kategori M40,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, kerajaan PH turut membangkitkan formulasi dasar pinjaman PTPTN iaitu jumlah hutangnya yang dikatakan mencecah RM40 billion setakat Mei 2019.

“Namun begitu, dasar menggalakkan pembayaran balik pinjaman oleh graduan sentiasa diperkemas dan ditingkatkan pada era pentadbiran BN, termasuk penglibatan agensi kerajaan yang lain sehingga mencatatkan peningkatan kutipan,” katanya.

Katanya lagi, Pemuda Umno berpendapat dasar pinjaman PTPTN zaman PH harus segera ditamatkan dan dikembalikan pemberian pinjaman penuh 100 peratus, lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat terkesan dengan kegersangan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

“Justeru, Pemuda Umno sekali lagi berharap kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mempertimbangkan gesaan ini bagi meringankan beban rakyat.

“Ia yang sekali gus mampu memberikan pulangan pelaburan jangka panjang modal insan negara masa depan,” ujarnya.