Penguat kuasa rampas barang penjaja, Datuk Bandar KL diminta beri penjelasan

Penguat kuasa rampas barang penjaja, Datuk Bandar KL diminta beri penjelasan

Nurul Huda Abhar

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan diminta memberi penjelasan berhubung video tindakan penguat kuasa merampas barang penjaja di Taman Tasik Titiwangsa yang tular baru-baru ini.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa selepas video insiden tersebut sempat dirakam dan dikongsi warganet di laman sosial.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur diminta memberi penjelasan kepada saya petang ini juga berkaitan video dan peristiwa ini.

“Tugas penguat kuasaan memang perlu namun perlu dipastikan kebijaksanaan dan berhemah dalam menyelesaikan sesuatu… Insya-Allah saya siasat dulu,” tulisnya dalam ciapan di Twitter.

Tambah Annuar, tugas penguat kuasa di Kuala Lumpur adalah amat penting dan orang awam harus menghormati tugas- tugas yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Namun begitu, kebijaksanaan semasa melaksanakan tugas harus menjadi keutamaan.

Beliau juga menyatakan akan turun padang berjumpa dengan penjaja di Tasik Titiwangsa selepas maklum balas daripada pihak DBKL diterima.

“Selepas saya dapat ‘feedback’ DBKL nanti Insya-Allah saya akan ke Tasik Titiwangsa petang ini dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai,” ujarnya.

Terdahulu, tular video penguat kuasa DBKL merampas semua peralatan penjaja di tepi jalan di kawasan Tasik Titiwangsa.

Biarpun penjaja tersebut merayu supaya diberikan masa untuk mengemas alatan berniaga sebelum beredar, namun tidak diendahkan pihak penguat kuasa.

Video tersebut mencetuskan simpati orang ramai terhadap penjaja tersebut dan mereka tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan penguat kuasa DBKL.