Persoal solat anggota penguat kuasa, Asri Janggut minta maaf

Persoal solat anggota penguat kuasa, Asri Janggut minta maaf

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang membongkar kegiatan judi haram dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, menyatakan permohonan maaf kepada anggota penguat kuasa.

Ia dipercayai susulan keterlanjurannya menyatakan kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat sehingga mudah ‘cair’ untuk terlibat dalam aktiviti tidak betul.

“Bismillah.. assalammualaikum semua, berkenaan tentang solat, saya akui kelemahan, keterlanjuran, kejahilan saya.

“Saya merasa amat-amat menyesal, malu, bersalah atas perkara tersebut, saya ingin memohon jutaan maaf atas kejahilan saya,” tulisnya menerusi Facebook Hot Burger Malaysia pagi tadi.

Dalam satu temubual bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum ini, Mohd Asri mendakwa anggota polis tidak menjaga solat.

Malah, beliau yang turut dikenali sebagai Asri Janggut mempersoalkan bila kali terakhir anggota polis menunaikan solat subuh serta bila kali terakhir solat subuh bersama isteri.

Kenyataan itu menimbulkan rasa marah sebahagian netizen serta mengguris hati anggota keselamatan, berdasarkan komen-komen dibaca di laman sosial.