RM1.2 bilion perlu dibelanjakan jika pilihan raya mengejut

RM1.2 bilion perlu dibelanjakan jika pilihan raya mengejut

Muhammad Afiq

[Parlimen]
Kerajaan perlu membelanjakan RM1.2 bilion jika pilihan raya mengejut diadakan ketika negara berdepan wabak Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata peningkatan kos itu disebabkan kerajaan perlu mengikuti operasi standard prosedur (SOP) baru yang ditetapkan ketika wabak Covid-19.

“RM1.2 bilion diperlukan jika pilihan raya umum dalam tempoh Covid-19 kerana kena ikut SOP baru.

“Bukan RM700 juta, jika pilihan raya mengejut diadakan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang perbekalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) yang membangkitkan tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan ketika wabak pandemik Covid-19 melanda negara.

Pada 28 Februari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak RM700 juta hingga ke RM800 juta diperlukan jika pilihan raya mengejut diadakan.

Pengerusi SPR ketika itu Datuk Azhar Azizan Harun, berkata jumlah itu mengambil beberapa perkara tambahan yang perlu dilakukan ketika negara berdepan Covid-19.

Dalam kenyataannya, Azhar Azizan berkata, Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jika PRU diadakan kali ini, SPR menganggarkan jumlah perbelanjaan antara RM750 juta hingga RM800 juta, berbanding RM500 juta pada PRU14 lalu.

“Pertambahan perbelanjaan tidak dapat dielakkan kerana SPR bercadang meneruskan semua penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam 10 pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU-14,” katanya.

Antara penambahbaikan itu termasuk pertambahan pusat mengundi dan saluran serta penyediaan saluran khas untuk pengundi orang kurang upaya (OKU), katanya.