Asri Janggut ke Bukit Aman esok

Asri Janggut ke Bukit Aman esok

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jam 10 pagi esok, dipercayai berhubung tuduhannya kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu, lapor Harian Metro.

Katanya, Mohd Asri akan disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Mohd Asri yang turut dikenali sebagai Asri Janggut berkata beliau telah dihubungi oleh pegawai Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman tengah hari tadi bagi memaklumkan perkara itu.

“Saya mendapat panggilan daripada pegawai Bukit Aman untuk diambil keterangan jam 10 pagi esok. Saya akan hadir bersama peguam,” katanya.

Semalam dalam satu video dimuat naik di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mohd Asri membuat pengakuan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan dan tidak mahu mengulas lebih lanjut berkaitan kontroversi mendakwa anggota polis dan tentera tidak jaga solat.

Beliau juga memohon maaf khususnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengakui kekhilafan yang terjadi adalah daripada perbuatan dirinya sendiri.