ATM terima permohonan maaf Asri Janggut

ATM terima permohonan maaf Asri Janggut

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima permohonan maaf pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut, susulan tuduhannya yang polis dan tentera tidak jaga solat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyifatkan kenyataan tersebut keterlaluan dan mengguris hati warga ATM, terutama mereka yang muslim.

“Namun, sebagai seorang manusia biasa, sememangnya kita tidak terkecuali melakukan kesilapan.

Oleh yang sedemikian, ATM mengambil pendekatan ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf individu berkenaan yang disiarkan juga di media sosial PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) pada 12 Ogos 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya berharap ia dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, pendapat atau pandangan mahupun ulasan tanpa sebarang rujukan atau fakta yang boleh mencetuskan sebarang polemik.

Ini katanya, selaras dengan tuntutan Islam iaitu kewajipan seorang muslim untuk sentiasa menjaga lidah dan tutur kata sepertimana yang diriwayatkan dalam hadith berikut:

“Daripada Sahl bin Sa’d RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No: 6474, 6807, at-Tirmizi, No: 2408, Ahmad, No: 21757),” katanya.

Affendi berkata, pengajaran yang boleh diambil dari Hadith itu:

* Allah SWT telah mencipta syurga dan neraka di akhirat sebagai destinasi abadi seseorang hamba. Apabila dia melakukan amal kebaikan, balasan syurga akan menanti dan sebaliknya jika melakukan amal kejahatan maka nerakalah tempat kembali.

* Jaminan syurga kepada seseorang Muslim yang dapat menjaga mulut, lidah dan kemaluannya. Menjaga mulut ialah menjauhi makanan dan sumber yang haram. Menjaga lidah pula dengan memperbanyakkan berzikir, memohon keampunan dan bertaubat daripada dosa-dosa yang telah dilakukan.

* Keutamaan menjaga lidah kerana daripadanya akan lahir perbuatan yang akan membawa kepada dosa-dosa dan sebagainya. Awasilah dalam berkata-kata. Jangan disebabkan tergelincir dan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.”

Katanya, ATM berharap perkara seumpama itu tidak berulang dan menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara tersebut di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua.