Bekas SU Politik bebas tuduhan ‘jam tangan mewah’

Bekas SU Politik bebas tuduhan ‘jam tangan mewah’

Nilam Oshman

Bekas Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Sabki Yusof, 47, dibebaskan dari dakwaan menerima jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000.

Sabki berkata, pagi tadi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk mengambil barang-barang peribadi yang ditahan semasa siasatan dijalankan ke atasnya, tahun lalu.

“Alhamdulillah, SPRM memaklumkan tiada pertuduhan dikenakan dan siasatan telah ditutup.

“Barang (jam tangan) yang menjadi tohmahan ke atas saya, iaitu sebuah jam tangan Omega, juga dikembalikan kepada saya,” katanya menerusi Facebook.

Jelasnya, jam itu diterima dari rakan yang juga pelanggannya semasa beliau bekerja sebagai peguam.

“Saya kenali sejak sebelum saya menjawat jawatan dalam kerajaan. Saya juga pernah menjadi ahli lembaga pengarah dalam sebuah anak syarikat syarikat mereka.

“Justeru, meraikan kegembiraan mereka dan keberadaan saya dalam anak syarikat mereka, mereka menghadiahkan jam tersebut.

“Sebagai seorang peguam dan biasa berkhidmat dalam persekitaran korporat, saya telah mengingatkan mereka tentang saya tertakluk kepada ‘no gift policy’ dan menolak hadiah tersebut.

“Tetapi mereka bertegas untuk memberi dan memaklumkan saya bahawa mereka tiada apa-apa kepentingan perniagaan dalam kementerian saya di mana saya bertugas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, demi mematuhi prinsip integriti dan urus tadbir baik, beliau memanggil unit berkaitan dalam kementerian untuk membuat pengisytiharan penerimaan hadiah mengikut prosedur.

“Saya mengisi borang yang berkaitan. Malangnya, selepas lapan bulan pengisytiharan dibuat, borang itu dijadikan asas untuk membuat tohmahan rasuah ke atas saya.

“Seharusnya, pihak berkenaan memberi keputusan mereka sekiranya hadiah itu perlu dipulangkan kepada pemberi atau dilupuskan, sepertimana amalan prosedur ‘no-gift policy’.

“Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan. Saya juga mengelak membuat apa-apa kenyataan terbuka sebelum ini sebagai menghormati proses siasatan,”ujarnya.