Bersatu tidak tergugat dengan parti baharu Dr Mahathir – Hamzah

Bersatu tidak tergugat dengan parti baharu Dr Mahathir – Hamzah

Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjejaskan Bersatu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah sebaliknya berkata, pada hari bekas Perdana Menteri itu menubuhkan parti baharu, Bersatu pula menerima 20,000 permohonan untuk menyertai parti berkenaan.

“Keluar enam orang masuk 20,000,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tidak banyak bahagian Bersatu terjejas di sebalik pengumuman demi pengumuman keluar parti oleh ahlinya yang menyokong Dr Mahathir.

“Kita akan bekerja kuat untuk pastikan parti kita bertambah teguh. Minggu ini saja hampir 187 bahagian akan bersidang, yang tak boleh bersidang hanya 10 bahagian.

“Ini membuktikan, kadang-kadang orang ini suka cakap bising di luar tapi kosong di dalam. Kita lakukan ini secara senyap,” katanya.

Ditanya sama ada pendaftaran Pejuang Tanah Air akan diluluskan, Hamzah berkata perkara itu perlu ditanya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Baru-baru ini, Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru pada berasaskan perjuangan Melayu dan pribumi sebelum menamakan ia sebagai Pejuang Tanah Air, semalam.