Bila nak jadi PM untuk kali ketiga baru Melayu bangsa pejuang, sindir Najib

Bila nak jadi PM untuk kali ketiga baru Melayu bangsa pejuang, sindir Najib

Muhammad Mustakim Ramli

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu hantaran di Facebooknya menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Melayu sebagai bangsa pejuang.

“Semasa jadi PM, Melayu pemalas, Melayu tak pandai, Melayu jangan iri hati pada orang kaya, Melayu bacul, Melayu mudah lupa dan Melayu jangan harap kerajaan bantu.

“Bila mintak undi jadi PM untuk kali ketiga, Melayu bangsa pejuang!,” tulis Najib.

Najib berkata demikian selepas memberi reaksi ciapan Twitter @parti_pejuang mengenai ‘Melayu adalah Bangsa PEJUANG!’.

Beliau juga turut memuat naik ciapan itu di Facebook miliknya.

Ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua Dr Mahathir menyifatkan orang Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing.

Melalui satu catatan di laman blog chedet.cc pada 6 September tahun lalu, Dr Mahathir berkata keengganan orang Melayu bekerja mendorong jutaan rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mendapatkan kerja.

“Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.

“Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja,” tulis beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Dr Mahathir perlu menyatukan orang Melayu jika mahu membantu agama dan bangsa.

“Jika nak bantu agama dan bangsa, jadilah faktor pemersatu bukannya memecahkan lagi orang Melayu dengan penubuhan sebuah lagi parti baharu orang Melayu!,” katanya menerusi Facebook.