Covid-19: 15 kes baharu positif, tiada kematian

Covid-19: 15 kes baharu positif, tiada kematian

Sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 direkodkan dan tiada kematian dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dari jumlah kes baharu itu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan semua warganegara Malaysia.

Katanya, dari 11 kes penularan dalam negara pula, 10 kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara yang dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu kes saringan sebelum bertolak ke luar negara.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat empat kes yang telah pulih Covid-19.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 sebanyak 8,821 kes iaitu 96.6 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.

Sehingga kini, katanya lagi, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini dan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu di Malaysia kekal 125 kes, iaitu 1.37 peratus dari jumlah keseluruhan kes,” katanya.