Ekuiti Melayu, Bumiputera merosot, kerajaan laksana beberapa insiatif

Ekuiti Melayu, Bumiputera merosot, kerajaan laksana beberapa insiatif

[Parlimen] Peratusan ekuiti Melayu dan Bumiputera yang dicatatkan ketika ini semakin merosot iaitu hanya kira-kira 16 peratus, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam sesi soal jawab hari ini, Perdana Menteri berkata apa yang penting kini adalah usaha yang mahu dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan jumlah pemilikan berkenaan.

“Yang penting adalah bagaimana usaha yang hendak dibuat kerajaan sekarang dan komitmen kita adalah untuk berusaha lebih dari dahulu.

“Sebab itu ada inisiatif baharu seperti Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang akan meneliti apakah sektor, yang mana Bumiputera agak jauh di belakang.

“Katakanlah sektor pembuatan, perbankan atau pertanian, apabila ada data lengkap yang dapat dikumpul melalui unit Teraju, maka tindakan kita lebih berfokus, sebab itu inisiatif ini akan kita laksanakan dengan lebih gigih lagi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) mengenai kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat tersenarai, tidak tersenarai dan kedudukan agensi amanah Bumiputera.

Perdana menteri juga memaklumkan, bagi suku kedua 2020 kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera adalah 5.2 peratus berbanding purata nasional 5.1.

Menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) mengenai langkah meningkatkan ekonomi Bumiputera, Muhyiddin berkata, ini akan dilaksanakan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan pada awal tahun depan.

Bagi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, katanya, kerajaan mewujudkan MKB yang dipengerusikannya, selain memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi Agensi Penyelaras Utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

“Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Selain itu, Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan Bumiputera sebagai bangsa usahawan.

“Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional (Tekun) serta agensi-agensi mandat Bumiputera,” katanya.