Empangan Papar bakal jerut Warisan di Limbahau

Empangan Papar bakal jerut Warisan di Limbahau

[PRN Sabah] Pembinaan Empangan Papar yang diteruskan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) bakal menjadi isu panas di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.

Projek mega untuk bekalan air di kawasan ibu negeri dan daerah sekitarnya itu sebelum ini dicadang di kawasan Penampang, namun dipindahkan ke Papar berikutan bantahan penduduk daerah itu.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata pemindahan lokasi empangan itu dari Penampang ke Papar juga dibantah penduduk khususnya yang mendiami kawasan hulu Sungai Papar dalam DUN Limbahau.

“Apabila kerajaan negeri menjelaskan projek empangan itu tidak dibatalkan, sebaliknya dipindahkan pula ke Papar, penduduk di kawasan ini marah kerana mereka bimbang ia bakal menjejaskan kehidupan mereka.

“Jadi, ia akan dijadikan isu penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini di DUN Limbahau. Kita akan menyuarakan bantahan penduduk yang tidak bersetuju dengan pembinaan empangan itu di Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Projek Empangan Papar sebelum ini dikenali sebagai Empangan Kaiduan dibantah penduduk di Penampang dan ia dijadikan isu oleh pihak pembangkang ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Warisan yang ketika itu adalah parti pembangkang, khususnya menerusi calon mereka di DUN Moyog dan Parlimen Penampang turut menyuarakan bantahan terhadap projek itu.

Bagaimanapun, selepas mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, kerajaan negeri pimpinan Warisan tidak membatalkan projek itu, sebaliknya memindahkan lokasinya di Papar dengan alasan ia tidak menjejaskan alam sekitar dan penduduk kawasan itu.

Sementara itu, Johnny berkata PBS sudah hampir pasti akan meletakkan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Limbahau pada PRN nanti.

“Kalau tiada halangan, saya pasti dicalonkan mewakili PBS di kerusi ini kerana saya sudah turun padang mendekati rakyat Limbahau sejak pembentukan DUN baharu diluluskan DUN Sabah pada 2016.

“Pengundi di sini juga mengenali saya dengan baik dan mereka tahu saya banyak turun padang melihat masalah di kawasan ini khususnya berkaitan pembangunan, jalan raya dan isu empangan,” katanya.

Kawasan baharu itu dibahagikan kepada sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Limbahau, Surati, Rampazan, Dambai, Biau, Gana, Ovai, Kaiduan dan Labak.

Kira-kira 85 peratus daripada pengundinya adalah Kadazandusun Murut (KDM).

DUN Limbahau adalah antara beberapa kawasan daripada 13 kerusi baharu yang diintai PBS.

Difahamkan, kerusi lain yang PBS berminat bertanding ialah DUN Tulid (Pensiangan), Pintasan (Kota Belud), Bandau (Kota Marudu), Bengkoka (Kudat) dan Telupid (Beluran).